Pernah dilabel sebagai perosak filem membakar semangat Faezah Elai untuk buktikan sebaliknya
SEBAGAI pendatang baru di dalam industri seni ini, dua gadis yang digandingkan dalam siri drama terbaru ntv7 berjudul Hartamas, Rusdiana Ramli dan Faezah Elai, mengakui tidak mahu terlalu ghairah dalam mendapat sesuatu tawaran lakonan.
Sebaliknya mereka lebih selesa menyelesaikan sesuatu kerja itu sehingga selesai sebelum menerima tawaran lain dalam bidang lakonan.
Faezah yang pernah merasai pengalaman memedihkan selepas dikritik pedas oleh media sebaik lakonannya menerusi filem Otai dua tahun lalu tidak mencapai tahap lakonan yang baik mengakui agak fobia untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa.
“Semuanya berlaku apabila saya belum bersedia untuk berada di dalam dunia seni ini. Jika sebelum ini saya banyak menumpukan perhatian di dalam bidang peragaan dan pernah mendapat tawaran untuk berlakon tetapi saya tolak kerana merasakan belum bersedia.
“Namun selepas itu, Prof Razak menawarkan saya watak anak mami dalam filem Otai. Saya terima walaupun sedar masih belum bersedia. Saya terima disebabkan ingin mencuba selain berminat melakonkan watak orang Penang,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Hartamas baru-baru ini.
Menurutnya, pengalaman dilabel sebagai pelakon perosak filem sukar untuk dilupai dan berazam untuk mengubah kembali persepsi masyarakat dengan menumpukan perhatian yang mendalam dalam sesuatu kerja dalam satu masa.
“Selepas peristiwa itu, hampir enam bulan saya tidak berani menerima mana-mana tawaran dan bernekad untuk mempelajari kembali bidang lakonan daripada awal.
“Selepas enam bulan saya mula menerima kembali tawaran berlakon tetapi bermula sebagai pelakon drama saja. Bagi saya drama adalah jalan yang baik untuk saya belajar dari kesilapan.
“Saya bermula dengan drama Cinta dan Keadilan yang disiarkan di Astro. Dari situ saya mula mendapat kembali keyakinan untuk menerima tawaran drama yang lain.
DIANA
RUSDIANA Rusdi atau Diana turut mengakui keliru apabila terlalu ghairah menerima beberapa tawaran lakonan tanpa memikirkan kualiti.
“Biasanya saya akan menghabiskan sesuatu kerja dulu sebelum menerima tawaran lain. Bukannya apa saya adalah pendatang baru dan mutu kerja lakonan saya harus dititikberatkan.
“Bagi saya semakin hari semakin ramai pendatang baru terutama dalam bidang lakonan ini muncul dan sekiranya saya tidak menjaga mutu lakonan sudah tentu saya akan diketepikan.
“Walaupun ramai muka baru hari ini namun saya juga tidak pernah menganggap ia suatu persaingan tetapi lebih mempercayai rezeki yang sudah ditetapkan oleh yang Maha Kuasa,” katanya.
Menurut Diana, bidang lakonan adalah satu bidang yang sangat disukai sejak kecil namun tidak mahu mengharapkan bidang ini sebagai punca pendapatan utama baginya.
“Setiap manusia mempunyai perancangan masing-masing dalam menempuh arus hidup ini untuk berjaya. Saya masih mencintai bidang lakonan ini tetapi dalam masa yang sama turut mempunyai perancangan lain.
“Saya juga tidak menganggap bidang lakonan yang saya ceburi ini sekadar untuk suka-suka kerana apa gunanya setiap hari saya bangun seawal lima pagi semata-mata untuk melakukan kerja yang suka-suka.
“Setiap kerja yang saya lakukan harus ada tumpuan dan menyelesaikannya dengan kepuasan.
“Jika diizinkan Tuhan, saya dan mama akan membuka syarikat perhubungan awam kerana kami memiliki minat yang sama di dalam bidang komunikasi,” katanya yang ingin menghabiskan pengajiannya dalam bidang komunikasi tidak lama lagi.
Sinposis Hartamas:
MENERUSI drama Hartamas, Diana memegang watak sebagai Juita Johari dan anak tunggal kepada Johari Johar lakonan Rushidi Ishak. Juita yang berpenampilan menarik adalah murid cemerlang di sekolah. Wataknya yang manja dan mementingkan kecantikan sangat rapat dengan ayahnya sehingga segala masalah akan dikongsi bersama.
Ayahnya adalah seorang akauntan yang lurus dan mempunyai perwatakan yang membosankan dan kekok. Namun di atas kebijaksanaan itu, Amelia Ramli lakonan Ida Nerina yang juga seorang janda anak satu menaruh harapan kepadanya. Mereka disatukan namun mendapat tentangan.
Edrina Rahman lakonan Faezah Elai adalah anak kepada Amelia namun mempunyai perwatakan yang agak ganjil dari segi imej. Edrina seorang gadis yang suka bersosial namun masih menyedari tahap dan batasan sebagai seorang wanita. Edrina juga mempunyai rupa paras yang menarik dan terlalu ghairah untuk mengejar populariti remajanya.
Edrina yang kehilangan bapanya sejak kecil tidak sebulu dengan Juita walaupun mereka kini sudah tinggal sebumbung kerana kedua-duanya mempunyai perwatakan dan penampilan yang sangat berbeza.
Drama Hartamas yang disiarkan menerusi ntv7 sejak semalam akan menemui penonton setiap Ahad jam 8.30 malam.
INFO: Diana
Nama Sebenar: Rusdiana Rusdi
Asal: Den Hague, Holland
Umur: 24
Tarikh Lahir: 26 Mei 1985
Pendidikan: Diploma Pengiklanan dan Pemasaran dari Institut Latihan Komunikasi Pengiklanan.
Hobi: Futsal, pool
Drama: Kasih Suci, Ampang Madikal dan Hartamas
Pengacaraan: Whoa! (ntv7), Euro 2008 (ntv7)
INFO: Faezah
Nama Sebenar: Noor Faezah Elai
Tempat Lahir: Gelugor, Pulau Pinang
Tarikh Lahir: 16 Ogos 1982
Status: Bujang
Adik-Beradik: Anak sulung daripada tiga beradik
Pendidikan: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Hobi: Mendengar muzik
Kerjaya: Pelakon, Pengacara dan model
Filem: Otai
Drama: Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri, Sutera Maya dan Hartamas
Iklan: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom
Hos Rancangan: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro) dan Hypermarket Saga (TV9)
Pencapaian: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People majalah Female.
0 Lampu Hijau:
Post a Comment
ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...