Sekali lagi, persembahan Nuur Jihan Musa, 25 atau Jihan, dipuji oleh barisan juri tetap dan juri jemputan ketika siaran langsung minggu keenam Gelanggang Raja Lawak 3, Jumaat lalu.
Bertemakan Zoom Malaysia atau Cuti-cuti Malaysia, Jihan berjaya menggelitik hati penonton di Studio 1, Astro dengan jenakanya sebagai pramugari yang berhadapan dengan kerenah seorang pakcik.
Meskipun jenakanya paling lucu, entah di mana silapnya, nama Jihan masih tersenarai pada kedudukan 3 tercorot kerana undian SMS tidak menyebelahinya.
Namun, ketika bercakap kepada portal murai.com.my, Jihan nyata tidak pernah ambil pusing dengan situasi berkenaan, apatah lagi untuk menganggapnya sebagai tekanan bersifat peribadi.
"Kalau orang di rumah tidak minat dengan kita, apa saya boleh buat. Malah saya juga difahamkan, kebanyakan pengundi untuk rancangan sebegini adalah perempuan atau mungkin juga orang tidak berkenan dengan pelawak perempuan.
"Tapi saya tidak peduli itu semua kerana bagi saya, apabila masuk Raja Lawak, saya kena buat persembahan terbaik. Soal menang atau kalau itu rezeki masing-masing. Malah impian untuk bergelar juara langsung tidak ada dalam hati saya," kata Jihan sambil tersenyum.
Namun itu juga tidak bermaksud, Jihan ralat kerana telah melepaskan kerjaya lalunya sebagai juruteknik dan pelakon teater demi menyertai Raja Lawak 3
"Memang saya pernah bekerja sebagai juruteknik bangunan di Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam, sebelum ini. Bagaimanapun pada masa yang sama, saya juga berminat dengan pementasan teater yang telah saya sertai selama 3 tahun lamanya. Tapi, pada awalnya saya lebih tertarik menjadi penari," katanya.
Namun menurut Jihan, selepas menghadiri uji bakat di Kaki Seni yang menawarkan pakej tarian, teater, nyanyian dan lakonan, lama kelamaan minatnya cenderung ke pementasan teater sehingga hari ini.
Jelas Jihan, antara teater yang pernah disertainya ialah Lorong Blues, KL Ku serta beberapa persembahan monolog solo bertajuk Pukul Jangan Tak Pukul dan Tukang Sapu.
Kata Jihan banyak petua yang diamalkan ketika menyertai Raja Lawak 3 daripada pengalamannya bergelar pelakon teater terutama dari sudut penjiwaan watak serta cara bagaimana untuk menarik perhatian penonton.
0 Lampu Hijau:
Post a Comment
ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...