January 23, 2009

Syamsul Terus Mara Dengan KL Drift 2

KUALA LUMPUR, 23 JAN 2009 : Selepas kejayaan menghasil Evolusi KL Drift , kini Syamsul Yusof telah diberi kepercayaan sekali lagi oleh ayahnya, Datuk Yusof Haslam, mengemudi filem ketiganya, Evolusi KL Drift 2 dengan bajet bernilai RM2.1 juta.

Syamsul mengakui selepas menerima tunjuk ajar yang banyak dalam menghasilkan filem pertama, Evolusi KL Drift, dia telah diberi kebebasan sepenuhnya menghasilkan KL Drift 2yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 April nanti. Evolusi KL Drift 2 pula dijadualkan menjalani pengambaran bermula 1 Februari ini. 

"Saya berasa bertuah kerana diberi kebebasan sepenuhnya dalam menghasilkan KL Drift 2. Hari ini, sekali lagi saya diberi tanggungjawab untuk mengarah filem yang lebih mahal, Evolusi KL Drift 2.

"Filem ini masih mengisahkan persahabatan, gangsterism serta diselitkan konflik cinta. Ia penuh dengan aksi drift di litar lumba dan tida banyak lumba haram berbanding Evolusi KL Drift yang banyak berlokasi di jalan raya. 

"Semua aksi akan dilakukan sendiri oleh pelakon saya, bagaimanapun kami turut menggunakan khidmat 5 drifter profesional. Kami hanya menggunakan 10 peratus saja CGI (Imej Janaan Berkomputer), itu pun hanya pada babak tertentu seperti percikan api pistol," katanya ketika bercakap pada pihak wartawan selepas pelancaran pembikinan filem tersebut di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), semalam.

Ia dilancarkan sendiri oleh Ketua Pengarah FINAS, Encik Mohd Mahyidin Mustakim. Yusof turut menghadiahkan replika kereta lumba sebagai simbolik kepada filem Evolusi KL Drift 2.

Dalam pada itu, Yusof turut mengulas bahawa filem ketiga arahan Syamsul ini dijangka lebih hebat dan mantap berbanding sebelumnya. Menurutnya juga, Skop Productions tidak akan membelanjakan lebih daripada RM1.5 juta sekiranya tidak yakin dengan pulangan yang memuaskan.

Ia bakal menjalani penggambaran selama 38 hari di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Pelabuhan Kelang. Ia diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Sdn Bhd.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Primeworks, Ahmad Puad Onah, Senator Datuk Jins Shamsudin, para pelakon dan wakil media.

Evolusi KL Drift 2 ini bakal dibintangi oleh Syamsul sebagai Zack, Farid Kamil (Sham), Scha Al-Yahya (Aleya), Aaron Aziz (Joe), Shaheizy Sam (Ery), Remy Ishak (Inspektor Kamal), Shaifuddin Hashim (Zul), Hetty Sarlene (Vee) dan Rizal Ashraf (Muz).









0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics