January 20, 2009

Maut Mampu Mengingsafkan Penonton


Filem: Maut
Pengarah: Bade Haji Azmi
Pelakon: Que Haidar, Liyana Jasmay, Sabrina Hassan, Eja
Produser: Tayangan Unggul Sdn Bhd


Sekali Imbas

Tentang hidup dan mati, kewujudan malaikat maut dan balasan bagi golongan yang ingkar.


Ulasan Penuh


Bade Haji Azmi kembali dengan sebuah lagi kisah namun kali ini cuba menyentuh hal yang lebih berani iaitu tentang kewujudan malaikat maut serta pegangan akidah umat Islam pada hari ini.


Bukan perkara baru Bade memaparkan 3 cerita pendek dalam sebuah filem. Cuma dulu dalam Gangster, Rosyam Nor membawa 3 watak berbeza tetapi kemudian watak-watak itu saling bertemu pada babak tertentu.


Kali ini dalam Maut, 3 cerita serta situasi berbeza ditonjolkan. Kisah-kisah tadi memang tiada kaitan, cuma fokus yang sama adalah kewujudan makhluk Tuhan iaitu malaikat maut yang muncul mengambil nyawa apabila gugurnya helaian dedaun dari pokok 'di atas sana'.

Pun begitu, malaikat maut dalam filem ini tidak boleh digambarkan dengan nyata kerana ia dikhuatiri boleh memesongkan pula akidah. Ia cuma datang dalam bisikan-bisikan suara serta teknik pencahayaan.


Kisah pertama berkisar tentang seorang gadis yang telah dimati dibunuh dan dirogol. Ia berlaku pada bulan Sya'ban. Gadis malang itu datang memberikan petanda (hint) kepada seorang gadis lain tentang kejadian yang menimpanya. Dan 2 hari kemudian, mayat gadis itu dijumpai di sebuah jirat Cina.


Cerita kedua pula yang berlaku dalam bulan Ramadan ialah tentang seorang pramugari yang sukakan bersosial dan mengambil arak. Dalam satu kejadian selepas mabuk, dia mendapat pertunjuk dan ingin singgah di sebuah masjid untuk bertaubat tetapi jatuh pengsan. Dalam keadaan tidak sedarkan diri di hospital, dia telah bermimpi disiksa dalam neraka.


Seterusnya cerita beralih ke bulan Syawal. Seorang remaja yang memperjuangkan muzik black metal telah membelakangkan akidahnya dan bersikap derhaka kepada ibu sendiri. Dia akhirnya terbabit dalam kemalangan ngeri dan ketika dalam keadaan koma, menempuh ketakutan. Dia kemudiannya mati dan tidak diterima oleh bumi.


Filem ini sedikit sebanyak dapat menginsafkan kita. Namun ada beberapa babak yang tidak logik seperti mayat gadis yang sudah 2 hari ditemui mati dibunuh dan dirogol, masih berada dalam kedaan sempurna. Selain itu babak tayar van jenazah meletup tidak langsung mengejutkan mereka yang hendak menaikinya walaupun keadaan itu sepatutnya menghairankan.


Babak pramugari bermimpi disiksa dalam neraka boleh dianggap menggerunkan dan meninggalkan impak. Kesan CGInya agak menarik. Bagaimanapun tulisan peringatan kepada penonton yang tertera pada babak-babak yang dianggap kontroversi, dirasakan tidak perlu. Ini kerana namanya pun sebuh filem cereka dan ia tampak janggal.


Secara keseluruhan, ini bukanlah filem terbaik dalam resume Bade Haji Azmi namun ia masih boleh ditonton demi untuk berkongsi mesej positif yang dipaparkan.










0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics