September 26, 2009

Apabila tikus menjadi pengintip


Judul: G-Force 2009

Suara Pelakon: Nicolas Cage, Sam Rockwell, Steve Buscemi, Tracy Morgan, Penélope Cruz, Bill Nighy, Zach Galifianakis

Pengarah: Hoyt Yeatman

Genre: Aksi/Komedi

Tarikh Tayangan: 17 September 2009. 

Filem terbitan Jerry Bruckheimer ini berkisar kepada kisah sekumpulan binatang dilatih untuk menjadi ejen rahsia serta mampu untuk berkomunikasi dengan manusia. Dilatih oleh Biro Siasatan Persekutuan Khas, sekumpulan haiwan bijak itu terdiri daripada marmut atau tikus Belanda.

Dilengkapi dengan pelbagai gajet canggih,

tugas sekumpulan haiwan itu adalah untuk menghalang Leonard Saber yang bercita-cita untuk menakluk dunia dengan menjadikan peralatan rumah sebagai senjata. Sebagai haiwan yang terlatih serta berkongsi 98.7 peratus DNA mereka dengan, tikus terbabit bukan saja bijak merancang strategi tetapi mahir dalam pelbagai bidang.

Blaster misalnya, pakar dalam senjata; Juarez - mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri, pakar menyeludup dan mengintip; Mooch serta Speckles yang bijak menggodam komputer. Mereka ini diketuai oleh Darwin serta bertindak di bawah arahan Ben lakonan Zach Galifinakis.

Pun begitu, usaha mereka menemui kegagalan apabila Ben mengarahkan supaya unit itu dibubarkan hanya kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara. Bukan saja dibubarkan tetapi semua peralatan di makmal tempat Ben dan ahli kumpulannya bertugas dirampas. Lebih menyedihkan apabila ketuanya mengarahkan supaya haiwan yang dilatih itu dibunuh atas alasan faktor keselamatan.

Bagaimanapun, dengan bantuan Ben, empat haiwan terbabit yang turut dikenali sebagai G-Force berjaya melepaskan diri dan bermulalah pengembaraan mereka untuk menyelesaikan tugas yang diamanahkan walaupun nyawa mereka dalam bahaya.

Walaupun tidak sepenuhnya animasi namun filem G-Force ini tetap menghiburkan. Temanya mungkin biasa sahaja kerana sebelum ini pun sudah ada beberapa kali filem yang serupa dihasilkan, tetapi yang membuatkan ia menarik adalah G-Force dihasilkan dalam bentuk teknologi tiga dimensi atau 3D. Teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) yang dihasilkan cukup teliti. Setiap pergerakan haiwan itu dibuat seolah-olah kita melihat haiwan yang sebenar.

Hoyt memang berhempas pulas menggunakan CGI apabila dia dengan bijak menggunakan kelebihannya dalam menggunakan teknik itu untuk memberikan hasil cukup mengesankan. Gabungan antara realiti dan fantasi yang dihasilkannya menarik. Teringat kembali filem separuh animasi yang pernah dihasilkan suatu waktu dulu iaitu Space Jam dan Who Framed Rogger Rabbit. Keletah haiwan dalam filem ini juga melucukan dan itu belum lagi mendengar dialog spontan yang keluar dari mulut mereka.

Selain dihiburkan dengan karakter mereka yang nampak hidup, filem ini juga dilatari dengan muzik yang menarik serta menggunakan suara pelakon yang hebat. Antara mereka yang meminjamkan suara untuk filem ini Sam Rockwell, Nicholas Cage dan Penelope Cruz. Bagi mereka yang masih tercari-cari filem apakah yang sesuai untuk ditonton kanak-kanak sempena musim perayaan ini, tidak syak G-Force adalah jawapannya.

sumber...bharian.com.my

blog comments powered by Disqus
 
Web Statistics