March 19, 2009

ABPBH 2008: 'Kalau menang satu bonus


Nabil Raja Lawak masih berasa bagaikan mimpi apabila namanya dicalonkan dalam dua kategori 

TANGGAL 14 Mac ini genap setahun jejaka tinggi lampai, Ahmad Nabil Ahmad, 26, berkecimpung dalam arena seni selepas menempa nama menerusi program realiti Raja Lawak musim kedua. 

Sepanjang tempoh 12 bulan, jejaka berasal dari Mambau, Negeri Sembilan ini menjadi rebutan penerbit filem dan stesen televisyen tanah air. Selepas program Raja Lawak musim kedua melabuhkan tirainya, Nabil tidak menang tangan menerima pelbagai tawaran filem malah terbaru dia sedang membina kerjaya sebagai pengacara.

Dalam tempoh setahun, tujuh buah filem dijayakannya menandakan betapa besar pengaruh Nabil ketika ini. Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie, Eee...hantu antara filem yang membabitkan nama jejaka ini. 

Siapa sangka hanya melalui Raja Lawak yang disertai atas dasar suka-suka, mengubah kehidupan Nabil dari seorang budak penghantar surat kepada seorang selebriti yang diminati ramai. Jika tidak masakan Nabil mendapat kepercayaan peminat sehingga namanya tersangkut dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular. 

Tidak pernah terlintas di benak anak muda ini satu hari nanti akan melangkah di permaidani merah dan bergaya segak bersama sut untuk menghadiri anugerah berprestij memandangkan sebelum ini dia bukanlah pemerhati acara hiburan. Sebelum ini, dia hanya memilih anugerah tertentu untuk ditontoni bergantung siapakah pengacaranya.

“Ketika bertugas sebagai budak penghantar surat, acara anugerah seperti ini tidak memberi         sebarang kesan kepada saya. Saya hanya suka menonton jika pengacaranya menarik seperti Afdlin Shauki. Tidak pernah pula terlintas di fikiran saya yang satu hari nanti, saya juga berpeluang hadir ke sebuah acara popular seperti ini. 

“Tidak pernah terlintas juga di fikiran bahawa saya akan menjadi salah seorang finalis. Tahun ini saya cuma menjangkakan akan diundang sekali lagi sebagai penyampai anugerah tetapi mengejutkan apabila nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus walaupun baru setahun jagung dalam industri. 


“Saya tidak mengharapkan kemenangan, jika menang ia bonus buat saya. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur dan menghargai peminat yang bersusah payah mengundi saya,” kata Nabil yang memilih rekaan Michael Shu sebagai persalinan untuk acara kemuncak ABPBH 2008 yang bakal berlangsung di Genting Highlands 12 April nanti. 

Bukan saja namanya dicalonkan dalam dua kategori, ramai mengandaikan anak muda ini berpotensi untuk bergelar Bintang Paling Popular seperti mana yang pernah diraih Raja SMS, Asmawi Ani selama tiga tahun berturut-turut. 

Namun, Nabil dengan merendah diri berpendapat namanya masih belum layak untuk diletakkan setinggi itu. Populariti bukanlah tugas yang mudah digalas, popular bermakna dia perlu memikul tanggungjawab berat kerana harapan yang diletakkan peminat ke bahunya pasti berlipat ganda. 

“Saya tidak mahu mengejar populariti. Bagi saya apa yang penting tawaran kerja lebih banyak berbanding populariti. Bukan apa, saya cuma bimbang ada pihak yang takut untuk mengambil saya hanya disebabkan populariti,” kata Nabil. 

Bina rumah untuk keluarga 

KESENANGAN yang dikecapi tidak melalaikan anak muda ini, sebaliknya kesenangan itu turut dikongsi bersama keluarga. Malah, Nabil kini sedang dalam perancangan membina kediaman lebih selesa di tapak asal rumahnya. 

Anak ketiga dari tujuh beradik ini pada mulanya berhasrat membeli kediaman baru buat keluarganya tetapi tidak dipersetujui kedua orang tuanya kerana mereka lebih serasi di rumah yang didiami sekarang. 

Bagaimanapun sebagai permulaan, hanya bahagian dapur dimulakan dulu. Cadangan anak muda itu juga mahu membesarkan lagi bahagian dapur rumahnya tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana bapanya baru saja membina kolam lintah dan ikan keli baru-baru ini sehingga mengehadkan ruang laman yang ada. 

Dana membina kolam lintah dan keli itu juga dikeluarkan Nabil bagi membantu mengukuhkan ekonomi keluarganya. Selain bergelar artis, anak muda ini juga perlu mencari alternatif lain bagi menambah pendapatannya. 

“Walaupun rumah yang didiami keluarga sekarang boleh dikategorikan selesa tetapi saya tetap ingin membina kediaman baru buat mereka. Sebagai seorang anak, hanya dengan cara ini saja dapat saya membalas jasa kedua orang tua. 

“Selain membina rumah, saya juga membantu keluarga menggerakkan perniagaan menternak lintah dan ikan keli. Perniagaan yang kini diusahakan orang tua saya itu semakin mendapat sambutan. Sesiapa yang mahu mendapatkan rawatan bekam lintah, bolehlah mengunjungi rumah keluarga saya di Mambau,” katanya. 

Sentuhan Michael Shu jadi pilihan 

PERTAMA kali bakal melewati permaidani merah, membuatkan Nabil berasa cukup teruja. Dia tidak sabar untuk merasakan sendiri kemeriahan acara tahunan itu. Bagi menghadiri acara berkenaan, Nabil memilih sut sentuhan pereka yang tidak asing lagi Michael Shu. 

Menurut Michael, bagi sut yang direka khas buat artis yang sedang meningkat naik itu, dia memilih fabrik tafeta digabungkan bersama songket yang menjadi tema ABPBH kali ini. 

Konsep yang dipilih Michael buat Nabil bercirikan moden dengan pilihan fabrik yang diterbangkan khas dari Hong Kong dan bernilai kira-kira RM3,000 untuk sepasang sut. 

“Saya tidak menggunakan fabrik songket sepenuhnya kerana tidak mahu penampilan Nabil tampak sarat. Justeru, saya menggabungkan kain daripada jenis tafeta bersama-sama dengan songket. 

“Songket adalah fabrik jenis mewah yang memiliki benang emas, jadi saya perlu berhati-hati memadankannya dengan fabrik yang sesuai supaya ia akan nampak lebih menarik lagi,” kata Michael yang turut mereka untuk beberapa selebriti lain antaranya Irma Hasmie, Iqram Dinzly, Faizal Ismail, Diddy, Kamal dan ramai lagi.

www.bharian.com.my

0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics