February 18, 2009

Sampai hati ayah, ibu


JOHOR BAHRU: Sampai hati ayah dan ibu! Suasana hiba menyelubungi sekumpulan penduduk Blok 50, Taman Ungku Tun Aminah di sini, apabila menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun menangis sambil mengheret beg plastik berisi beberapa helai pakaiannya, tengah malam kelmarin.

Ketika ditemui, kanak-kanak itu yang mengaku bernama Tan Eng Eng seolah-olah hilang arah selepas dipercayai ditinggalkan ibu bapanya berdekatan blok berkenaan.

Orang ramai yang menemui kanak-kanak terbabit kemudian menyerahkannya ke Balai Polis Skudai sebelum dihantar untuk menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Kanak-kanak terbabit kelihatan ceria sebaik gambarnya dirakam jurugambar media di wad berkenaan, semalam tetapi ketika ditanya mengenai nama dan latar belakang keluarganya, dia tiba-tiba menjadi bingung seketika sebelum menjawab 'saya Tan Eng Eng...umur tiga tahun'.



Sikap ceria dan senyum manis kanak-kanak malang itu kemudian hilang begitu saja dan dia mula merengek apabila diasak pelbagai pertanyaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata kanak-kanak itu ditemui orang awam yang melalui tempat kejadian dan diserahkan kepada polis kira-kira jam 12.10 tengah malam, kelmarin.

"Mangsa yang memakai gaun kuning ditemui menangis sambil membawa satu beg plastik mengandungi beberapa helai pakaian.

"Siasatan awal mendapati, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan pasangan lelaki dan wanita dewasa dipercayai berbangsa Cina.

"Tindakan membuang atau meninggalkan kanak-kanak seperti itu boleh dikenakan tindakan tegas seperti ditetapkan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 dan mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Ruslan berkata, kanak-kanak berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam masa terdekat.

"Di samping itu, kami memohon orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kanak-kanak berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Engku Nurul Aini Engku Malek di talian 012-6033345 atau balai polis berhampiran," katanya.

0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics