November 12, 2008

PESONA BINTANG BARU

Kehadiran mereka mula mencuri tumpuan peminat hiburan tanah air 


SUTRADARA Erma Fatima menjadi insan terpenting yang membuka laluan dan memberi peluang buat dua dramatis yang sedang melakar nama di persada seni, Ayu Raudah, 23, dan Ummi Nazeera, 18. 

Jika Ayu mula diberi peranan oleh Erma menerusi Terima Kasih Ana, Ummi pula beraksi dalam drama Pesona Bintang. Ketika itu, perjuangan mereka baru saja bermula dan dengan bantuan pengarah tersohor itu memperkenalkan ke arena seni, kini mereka sedang melonjak, menempa populariti hari demi hari. 

Hanya sekadar menyebut beberapa nama seperti Rozita Che Wan, Diana Danielle, Julia Ziegler, Juliana Evans, Fouziah Gous, Jue Aziz, nama Ayu dan Ummi juga sebaris dengan mereka, mencuri tumpuan di pentas lakonan dan terpampang kisah di media sebagai heroin pelapis masa kini. 

Kehadiran mereka dilihat sebagai penyambung warisan heroin sebelum ini yang terlebih dulu dikenali dan berkongsi bakat. 

Hadir bergaya kasual, Ayu dan Ummi hebat bergaya persis peragawati bertaraf antarabangsa. Bagi Ayu, bidang peragaan bukan sesuatu yang asing lagi bagi dirinya kerana selain berlakon, Ayu juga aktif memperaga pakaian untuk majalah tempatan.

Ummi juga apa kurangnya walaupun pada mulanya sedikit kekok, namun lama-kelamaan menyerap tenaga dan aura Ayu dan hasilnya mampu memberikan pose terbaik buat tatapan pembaca Hip. Yang penting, kedua-duanya masih solo tanpa sebarang ikatan cinta. 

Bagi Ayu, dia kini semakin bebas tanpa dibayangi populariti kakaknya sendiri, Rozita Che Wan. Dulu pernah melata kisah kononnya Rozita mencuri tumpuan Ayu sedangkan Ayu yang dulu menerjah industri lakonan. 

Biarpun menyedari situasi berkenaan, tidak sedikitpun terpalit rasa cemburu di hati, sebaliknya Ayu sangat senang kerana dia mempunyai pesaing terdekat di kalangan adik-beradiknya sendiri. Lagi pun bak kata Ayu, beza pembabitan dia dan kakaknya dalam dunia lakonan hanya sebulan. 

         Ayu raudah


Menurut Ayu, pada mulanya dia tidak menyangka mempunyai persamaan nyata dengan Ummi kerana dibimbing dan ditunjuk ajar dengan pengarah yang sama. Fotografi gandingan Hip kali ini tercetus secara kebetulan. 



"Tak sangka juga akhirnya Ayu dan Ummi mengalami pengalaman dan perjalanan seni yang sama kerana kami bermula dengan hasil buah tangan pengarah yang sama. Dialah (Erma Fatima) yang pertama mengajar Ayu selok-belok dunia lakonan.


"Tak dinafikan dia memang seorang yang tegas dan serius semasa bekerja tapi apabila sudah 'cut' penggambaran dia boleh diajak berborak macam orang yang sudah lama kenal. 

"Mula-mula memang Ayu gerun dan takut juga dengan dia, tapi lama-lama dah ok dengannya. Selepas drama pertama,Terima Kasih Ana, Ayu ada mendapat tawaran lagi cuma belum berkesempatan untuk kembali berlakon di bawah arahan Erma. 

"Alhamdulillah, rezeki berlakon Ayu tetap ada dan Ayu tidak pernah gusar dengan kehadiran kakak. Rezeki masing-masing Tuhan yang tentukan. Ayu juga tumpang bersyukur, kakak pun boleh mengurangkan beban keluarga kami dan kakak pun ada tanggungan anak-anaknya," ungkap Ayu yang pernah digosip bercinta dengan pelakon kacak, Pekin. 

Dalam dua tahun meniti hidup di pentas seni, Ayu juga kini sedang dalam proses membeli apartmen di Kuala Lumpur. Ungkap Ayu, selagi peminat dan pihak produksi meminati bakatnya, inilah masanya untuk Ayu mengumpul aset, beringat sebelum menjelang hari tua. 

Dalam mana-mana dunia dan bentuk kerjaya sekalipun, pasti mengundang persaingan sama ada bersifat positif ataupun negatif. Begitu juga dengan persaingan Ayu menempatkan diri di pasaran terbuka dengan kehadiran wajah baru bagaikan cendawan. 

"Setakat ini Ayu hanya mampu berbangga dengan hasil lakonan yang Ayu berikan. Ayu sedar, Ayu bukanlah pelakon yang hebat tetapi setiap hari menjadi motivasi buat Ayu untuk mempamerkan lakonan yang memberangsangkan. 

Saat ini, Ayu juga merasakan masih terlalu awal untuk dicalonkan dalam mana-mana anugerah. Tapi semua pelakon mengidamkan perkara yang sama, sama ada yang membabitkan anugerah popular ataupun penjurian profesional. 

"Persaingan itu memang sentiasa ada dan semuanya terletak kepada diri sendiri untuk memasarkan diri ke peringkat yang lebih baik. Di Malaysia ini ramai pelakon baru wanita yang hebat dan tampil dengan personaliti berbeza. 

"Jika tidak ingin terus tenggelam dan dilupakan, kita kena berusaha untuk menampilkan kelainan dan menarik perhatian secara positif," kata Ayu Raudah yang muncul dalam drama Dari Mata Arisa terbitan RTM1 dan Alam Maya. 

Bukan mudah untuk tarik perhatian 

UMMI Nazeera juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai kebanjiran pelakon baru wanita. Kata Ummi penuh sinikal, persaingan pelakon baru wanita yang cantik rupa paras memang ramai, cuma yang pandai berlakon tidak boleh dipastikan dan sukar dinilai. 

Selain berlakon, Ummi juga masih menuntut dalam diploma Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta. Ummi juga banyak berterima kasih kepada Erma yang mula menyediakan landasan untuk dirinya terus berjuang dan memastikan hayat itu terus stabil dan tidak lenyap begitu saja. 

"Dialah (Erma Fatima) yang mula nampak bakat saya, dialah yang panggil saya untuk sesi membaca skrip untuk drama Pesona Bintang. Kami mula bersua apabila saya terbabit dengan sesi latihan untuk babak menari dalam filem Diva Popular yang dilakukan penggambarannya semasa Anugerah Bintang Popular 2006 berlangsung di Genting Highlands. 

"Daripada drama itulah saya terus mengorak langkah berlakon drama yang lain hinggalah yang terbaru drama Ali Din untuk slot Lagenda yang sudah pun habis siarannya di TV3 dan TV9. Saya juga terbabit berlakon filem Lu Fikirlah Sendiri Nabil The Movie bersama Nabil Raja Lawak sejak akhir Julai lalu. Dalam filem itu, saya memegang watak Sharifah dan diminati Nabil. 

"Hakikatnya bukan mudah untuk menarik perhatian pihak produksi mengambil kita berlakon kerana di luar sana, persaingan memang terbuka dan sengit. Sebagai pelakon dan manusia biasa, saya memang sentiasa mengalu-alukan persaingan positif ini. 

"Saya tidak boleh mengatasi pelakon yang lain. Apa yang boleh saya lakukan ialah terus memperbaiki dan mempertingkatkan ilmu lakonan kerana saya tidak pernah merasakan yang saya sudah bagus," kata anak bongsu daripada dua beradik ini. 

Ummi mula menerjah persada seni sejak 2006 dan dia mengakui tidak mengidam watak, sebaliknya setiap watak yang diberi akan sentiasa dilakonkannya dengan baik. 

Katanya lagi, asas lakonan adalah benda yang sama dan jika diberi peluang membawa karakter berbeza itu sudah memadai baginya. 

Ironinya, bidang lakonan tidak pernah dimimpikan sebelum ini. Akui Ummi, dia bercita-cita ingin menjadi usahawan dan akauntan. Ibunya sendiri mahu melihat dirinya bergelar akauntan suatu hari nanti. 

"Soal terjamin atau tidak membabitkan diri sebagai pelakon, Insya-Allah kalau kita ada sasaran, kita pasti boleh pergi jauh. Tetapi semuanya bertimbal balik kepada soal rezeki. Kalau ada rezeki, saya mahu membuka produksi sendiri," demikian kata Ummi Nazeera yang teringin berlakon di bawah arahan Osman Ali.

0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics