June 13, 2008

Latest news of elyana...


Sejak kebelakangan ini nama Elyana memang menjadi sebutan banyak pihak. Bukan sahaja kerana bakatnya yang semakin menyerlah, malah beberapa cerita kontroversi yang dikaitkan dengannya juga menjadi punca popularitinya meningkat.
Berpeluang bertemu dengan gadis manis yang cukup popular dengan lagu “Kalis Rindu” ini di majlis pelancaran album MTV karaoke terbarunya, ‘Jadi Diriku’ di Red Box Ria, SOGO, Kuala Lumpur baru-baru ini, Elyana mengakui tidak selesa jika dilabelkan sebagai penyanyi remaja penuh kontroversi.



Katanya segala yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada imejnya yang tidak suka memakai kasut ketika mengadakan persembahan. Namun jelasnya dia telah memberikan banyak kenyataan tentang perkara tersebut namun masih ada pihak yang tidak dapat menerimanya.
Sebagai jalan terbaik, jelasnya, dia lebih senang mengambil sikap berdiam diri setelah puas memberikan kenyataan kepada pihak media.
"Saya tahu ramai yang tak puas hati dengan kenyataan yang saya berikan tempoh hari. Bukan niat saya untuk mengguris hati mana-mana pihak tetapi saya sekadar melahirkan apa yang terpendam di hati saya. Lagi pun pada saya isu ini sudah basi.





"Selain itu saya juga merasakan wajar untuk memberikan kenyataan kerana saya tidak mahu peminat salah faham dengan tindakan saya. Sebabnya peminat tidak tahu akan perkara sebenar dan mereka mudah percaya dengan apa yang ditulis oleh wartawan di dalam akhbar. Jadi bila saya memberikan kenyataan balas, peminat boleh baca dan berfikir sendiri yang mana satu betul dan yang mana salah," katanya yang semakin berani melontarkan pendapat.
Tambahnya, secara peribadi dia menganggap perkara tersebut sebagai isu lama kerana sudah beberapa tahun dia mengadakan persembahan dengan hanya berkaki ayam. Katanya itu semua berpunca untuk mendapatkan keselesaan di atas pentas dan bukannya untuk menarik perhatian orang ramai seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
"Saya tidak nampak tidak memakai kasut ketika menyanyi sebagai satu kesalahan besar. Dulu saya tidak berkasut kerana mahu mencari keselesaan. Namun daripada respon peminat mereka menerimanya dan ia kini menjadi sebahagian daripada imej saya. Saya harap semua orang boleh faham dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka."




Diusik dengan pertanyaan sampai bila dia akan berkaki ayam ketika di atas pentas, Elyana memberitahu buat masa ini dia begitu selesa dengan caranya itu. Namun jika di dalam acara-acara tertentu terdapat penganjur memintanya agar memakai kasut dia tidak keberatan untuk melakukannya.
"Setakat ini saya selesa dengan imej sebegini dan tidak terfikir untuk berubah. Apatah lagi peminat juga semakin dapat menerimanya. Lagipun, bukan semua tempat atau di dalam semua majlis saya tidak memakai kasut.
"Sebagai seorang penyanyi saya tengok juga majlis bagaimana yang sesuai untuk tidak berkasut. Kalau ia membabitkan acara formal, saya tak kisah berkasut. Sebelum ini pun saya ada berbuat demikian. Cuma biasanya kalau di atas pentas saja saya tak pakai kasut kerana selesa begitu," ujar Elyana yang mengakui kakinya tidak pernah terluka atau tercedera akibat tidak memakai kasut ketika di pentas.


Mengenai isu tak datang latihan dan tak hafal lagu sewaktu Anugerah Industri Muzik 15 lalu, Elyana yang kelihatan ceria ini menjelaskan segalanya berlaku akibat salah faham. Katanya sebagai penyanyi yang mengadakan persembahan pada hari tersebut dia menerima arahan daripada penganjur dan bukannya dia tidak menghafal lirik lagu “Ketentuan” seperti yang diperkatakan orang.
"Sebenarnya apa yang ditulis oleh akhbar tentang perkara tersebut langsung tidak benar. Saya sendiri terkejut dan sedih ketika membacanya. Isu tak datang latihan memang tidak berlaku kerana saya diberitahu pihak penganjur bahawa masa latihan saya telah diubah. Jadi itu bukan salah saya.
"Tentang tidak berduet dengan Matta pula penganjur sendiri telah tahu akan perkara tersebut dan ia berpunca daripada vokal saya yang tidak sesuai menyanyikan lagu itu. Bukannya saya tidak hafal lirik kerana saya tahu budak-budak pun boleh hafal lirik yang sedikit itu.
"Apatah lagi saya seorang penyanyi dan kerja saya memang menyanyi. Pada fikiran saya daripada saya merosakkan lagu itu serta reputasi saya sebagai penyanyi, lebih baik saya menarik diri. Paling penting penganjur juga bersetuju dengan perkara tersebut," jelasnya.
Dijolok dengan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia semakin seksi kini, gadis berusia 21 tahun ini segera menafikannya. Katanya dia berpakaian mengikut keselasaan dan tidak pernah terfikir bahawa dirinya seksi.
Apatah lagi pakaian serta pergerakannya sering dipantau oleh ibu serta keluarga yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.Mengenai teman lelaki pula Elyana lebih senang mendiamkan diri. Katanya dia tidak mahu mengulas tentang perkara tersebut kerana fokusnya kini adalah karier seninya. Apatah lagi dia kini terlalu sibuk dengan bidang nyanyian serta lakonan yang semakin disenanginya.
Terbaru, Elyana muncul sebagai pelakon utama melalui drama bersiri “Renjis”. Dalam drama tersebut dia bergandingan dengan ramai pelakon popular seperti Ashraf Sinclair, Liza Abdullah dan Syed Ali.

0 Lampu Hijau:

Post a Comment

ape korang rase ngn entri nih...
Comment ape2 yg sesuai allowed here...

 
Web Statistics